Program Interaksi Akademik SPM 2019 SMK Taman Perumahan Bedaun Mendapat Sambutan Ibu Bapa

Pn. Jijah turut memberi penerangan kepada ibu bapa tentang pencapaian anak-anak

Labuan, 28 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Program Interaksi Akademik antara ibu bapa dan juga guru-guru bertempat di Dataran Bedaun SMKTPB.

Seramai 80 lebih ibu bapa atau penjaga pelajar telah hadir bagi memberi sokongan kepada program sekolah ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa tentang pencapaian anak-anak mereka yang juga merupakan calon SPM 2019.

Sebagai rekod, seramai 82 orang murid SMKTPB akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. 

Melalui program ini, ibu bapa dapat berbincang dengan guru-guru tentang pencapaian anak-anak mereka dalam Peperiksaan Percubaan SPM baru-baru ini.

Calon SPM dan ibu bapa mendengar amanat daripada Pengetua

Dalam ucapan Puan Jijah binti Mohamad Suhai (Pengetua), beliau mengharapkan agar ibu bapa terus memberikan komitmen yang tinggi kepada pihak sekolah untuk sama-sama berusaha meningkatkan pencapaian anak-anak.

Beliau juga berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat memperoleh sekurang-kurangnya ‘C’ dalam semua mata pelajaran, di samping mendapat peningkatan ‘A’ dalam setiap mata pelajaran.

Pihak sekolah amat mengharapkan agar ibu bapa dapat memberikan kerjasama dengan memastikan anak-anak hadir penuh ke sekolah serta memastikan anak-anak menghadiri kelas bimbingan yang akan dilaksanakan oleh guru-guru.

Pihak sekolah  juga berharap agar  baki masa yang ada sebelum menjelang SPM akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh semua calon SPM 2019.

Harapan yang tinggi diletakkan kepada calon pada tahun ini agar terus gandakan usaha masing-masing untuk meningkatkan kualiti pencapaian SPM 2019.

Semoga SMKTPB terus cemerlang dalam akademik, sahsiah dan juga kokurikulum.

Turut hadir dalam program ini PK Pentadbiran En. Ag Rozlan bin Manan, PK Kokurikulum Pn. Lau Chin Ying dan Naib Pengerusi PIBG SMKTPB Puan Sapiah Omar.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Penyerahan slip keputusan Peperiksaan Percubaan SPM

image_pdfimage_print