Julung Kali MAIWP Labuan Menganjurkan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri WP Labuan : SMK Labuan Dinobat Johan

Encik Raisin Saidin (7 kiri), Encik Ahmad Saifuddin (2 kiri) bersama Pengetua dan peserta-peserta SMK Labuan, dan tetamu jemputan.

Labuan : SMK Labuan dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung di Kompleks Darul Kifayah MAIWP WP Labuan pada 23 hingga 25 september lalu.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Pada Peringkat akhir, Pasukan SMK Labuan yang bertindak sebagai kerajaan telah menewaskan pasukan SMK Rancha-Rancha selaku pembangkan dengan usul bahas ‘Isu Alam Sekitar : Kita Semakin Peka’.

Empat peserta yang mewakili SMK Labuan, Dania Izzati Ifwat Hadif (YAB Perdana Menteri), Kizzer Poh Wee Shen (YB Menteri Kedua), Naqiah Ainna Mohd Aminuddin (YB Menteri Ketiga) dan Nor Qhairunnisa Muhammad Azri (YB Menteri Keempat).

Usul diterima dan SMK Labuan dinobatkan sebagai johan, menerima hadiah RM500, piala dan sijil manakala SMK Rancha-Rancha sebagai naib johan.

Di separuh akhir, SMK Labuan menewaskan SM Sains Labuan.

Kemenangan itu lebih menarik selepas peserta SMK Labuan, YB Menteri Ketiga Naqiah Ainaa Mohd Aminuddin dipilih sebagai Pembahas Terbaik sekali gus menerima piala dan sijil.

Pasukan SMK Labuan, dari kiri : Ainaa, Nor Qhairunnisa, Kizzer dan Dania

Turut hadir Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Mohd Tahir dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Labuan, Asbola Amit.

Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah, pegawai serta kakitangan MAIWP dan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Selain SMK Labuan dan SMK Rancha-Rancha, pertandingan itu turut disertai SMK Mutiara, SM Sains Labuan dan Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan.

SMK Labuan (kuota sekolah harian) dan SMA MAIWP Labuan (kuota SMA) akan mewakili WP Labuan ke peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 9-10 Oktober ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang membimbing pasukan Bahas SMK Labuan iaitu Cikgu Juliana Nain, Cikgu Rohati Lusim, Cikgu Mastura Nurillah, Cikgu Ramlae Abd Rashid dan Cikgu Zulkifli Omar atas komitmen dan kesungguhan mereka.

Encik Ismail berharap semoga pasukan Bahas SMK Labuan mencapai kejayaan di peringkat Wilayah Persekutuan nanti dan terus menjadikan pasukan Bahas SMK Labuan sebagai sebuah pasukan yang disegani.

“Saya yakin kejayaan itu adalah hasil komitmen dan kerja keras peserta yang menerima bimbingan berterusan daripada guru-guru.

“Saya berharap peserta akan terus memastikan SMK Labuan berada dalam kelompok yang terbaik di peringkat Wilayah Persekutuan minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan tersebut.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri : Puan Juliana, Puan Mastura, Nor Qhairunnisa, Dania, Encik Ismail, Ainaa, Kizzer dan Encik Zulkifli

image_pdfimage_print