Murid PPKI SMK Mutiara Pelajari Pengurusan Kewangan Secara Amali

Murid-Murid PPKI di bawa membeli-belah di sebuah pasaraya di Labuan

Labuan – Seramai 36 orang murid berkeperluan khas (MBK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Mutiara telah mempelajari cara– cara pengurusan kewangan secara berhemah menerusi program “Berbelanja dengan Berhemah, JOM SHOPPING”, pada 3 September lalu.

Murid – murid yang diiringi oleh 14 orang guru, lima orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta dua orang ibu bapa ini telah mengikuti dan mengalami sendiri beberapa aktiviti berkaitan pengurusan kewangan harian mereka.

Dalam program ini, MBK telah diajar bagaimana cara untuk menggunakan perkhidmatan bas awam dari sekolah ke Pusat Bandar. Murid – murid didedahkan dengan pengalaman sebenar menaiki bas awam dan membuat bayaran tambang sendiri. Rata – rata murid yang ditemui ternyata teruja dengan aktiviti ini kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka menaiki bas awam.

Pelajar-pelajar gembira menaiki bas awam

Dalam program ini, MBK telah diajar bagaimana cara untuk menggunakan perkhidmatan bas awam dari sekolah ke Pusat Bandar. Murid – murid didedahkan dengan pengalaman sebenar menaiki bas awam dan membuat bayaran tambang sendiri. Rata – rata murid yang ditemui ternyata teruja dengan aktiviti ini kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka menaiki bas awam.

MBK seterusnya telah dibawa ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan W. P. Labuan untuk mempelajari dan membuat urusan pengeluaran wang simpanan melalui kaunter.

Sebelum memulakan aktiviti, MBK telah diberi taklimat ringkas oleh Pengurus BSN Cawangan W. P. Labuan, Encik Mohd Raduan Bin Matasan tentang tatacara urusan pengeluaran wang. MBK telah diajar cara mengisi borang pengeluaran, mengambil nombor, menunggu giliran dan berurusan di kaunter.

Sepanjang aktiviti dijalankan,pihak BSN telah membuka kaunter khas bagi membantu melicinkan perjalanan program. Menurut Encik Mohd Raduan Bin Matasan ketika ditemui berkata, BSN berbesar hati menerima kehadiran MBK kerana aktiviti seperti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak bank dalam memberi perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat.

Di akhir program ini, MBK telah dibawa ke salah sebuah pasaraya di W. P. Labuan untuk membuat perbelanjaan mengikut jumlah duit saku yang telah dikeluarkan. Dalam aktiviti ini, murid – murid telah dibantu oleh guru – guru, PPM dan juga ibu bapa untuk membeli barang – barang mengikut keperluan serta membuat perbelanjaan secara berhemah. Peluang untuk membeli – belah ini telah memberikan satu kaedah pembelajaran yang menyeronokkan bagi MBK.

Gambar Kenangan Bersama Pengurus BSN Cawangan W. P. Labuan

Penyelaras program, Cik Zulrida Ismail berkata, program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada kandungan dalam kurikulum pendidikan khas yang bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang cara pengeluaran wang serta cara menguruskan wang dengan betul dan berhemah dalam kehidupan seharian.

Beliau amat berbesar hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak bagi menjayakan program kali ini termasuklah penglibatan ibu bapa. Beliau berharap agar program sebegini dapat membantu MBK untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian mereka. Turut serta dalam ini ialah Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara, Puan Roslaniah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Gambar 2 orang Murid Berkeperluan Khas membeli barang keperluan

image_pdfimage_print