Modal Insan Murid Wilayah Persekutuan Labuan Menyerlahkan Kecemerlangan di Peringkat Kebangsaan

Kejayaan yang membanggakan Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan Sempena Karnival Inovasi Teknologi Hijau

Labuan – Modal insan murid Wilayah Persekutuan Labuan menyerlahkan kecemerlangan di peringkat kebangsaan dengan berjaya meraih naib johan keseluruhan dalam Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH)Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung di negeri Pahang pada 16-19 September lalu.

Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya merangkul Johan dalam pertandingan Inovasi Tenaga Biojisim yang diwakili oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Pasukan SMK Mutiara tidak kurang hebatnya dengan meraih naib johan dalam Pertandingan Green Technology Show, manakala pasukan SM Sains Labuan telah mendapat tempat ketiga dalam Xplorace Teknologi Hijau.

Ketiga-tiga sekolah yang telah mengharumkan nama Labuan ini telah membawa pulang RM1,500 sebagai johan, RM1,000 sebagai naib johan dan RM500 bagi tempat ketiga berserta trofi dan sijil.

Johan Inovasi Tenaga Biojisim, SMK Labuan

Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 ini merupakan salah satu aktiviti bagi projek ‘Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum & Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari’.

Acara ini disasarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia melalui penyertaan 7 pertandingan yang bertemakan Teknologi Hijau.

Pertandingan itu ialah Solar Vehicle Challenge, Green Cooker Challenge, Inovasi Tenaga Biojisim, Inovasi Rekacipta Teknologi Hijau, Rekabentuk Bandar Teknologi Hijau, Green Technology Show dan Xplorace Teknologi Hijau.

Encik Aminuddin (kanan), Pengurus Kontinjen WP Labuan

Pengurus kontinjen Labuan, Encik Mohd Aminuddin Abd Malek menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan ini yang merupakan hasil kerjasama dan usaha bersama oleh semua pihak yang terlibat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pengurus kontinjen, guru-guru yang terlibat dan semua murid yang telah mengambil bahagian, seterusnya mencatat kejayaan yang membanggakan dalam acara masing-masing.

“Sesungguhnya kejayaan ini telah berjaya mengangkat maruah dan harga diri murid-murid ini. Seterusnya membuktikan bahawa modal insan murid pulau ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”. Encik Raisin Saidin.

Karnival Inovasi Teknologi Hijau Peringkat Kebangsaan 2019 merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kontinjen WP Labuan ke Karnival Inovasi dan Teknologi Hijau 2019

image_pdfimage_print