SMK Labuan Mengharumkan Nama Wilayah Persekutuan Labuan

Para pemenang disambut gembira oleh Encik Ismail dan guru-guru SMK Labuan dengan banner "SMK Labuan Juara, Setiap Murid Bernilai" yang disumbangkan oleh PIBG sekolah

Labuan – SMK Labuan yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam Pertandingan Inovasi Tenaga Biojisim telah dinobatkan sebagai Johan sempena Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) Peringkat Kebangsaan 2019 yang telah berlangsung di Pahang pada 16-19 September lalu.

Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

SMK Labuan diwakili oleh Adik Deena Liyana Talip, Nur Ainul Mardhiah Addris, Siti Aqilah Hassan dan Cikgu Isabella Kim sebagai guru pembimbing.

Kumpulan ini telah berjaya mencipta inovasi yang diberi nama CANEnergy (Cane Energy), di mana inovasi ini dapat menghasilkan tenaga daripada tenaga biojisim (hampas tebu) sebagai tenaga boleh baharu.

Pertandingan yang melibatkan peserta daripada 16 buah negeri ini adalah untuk memperluaskan ilmu pengetahuan serta mendidik peserta agar mempraktikkan penggunaan sumber alternatif daripada bahan sumber tenaga boleh baharu.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu pembinaan sel kering dan power point, pengujian sel kering dan pembentangan.

Pelajar SMK Labuan muncul johon setelah berjaya menghasilkan inovasi CANEnergy

SMK Labuan telah membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil. Naib johan dan tempat ketiga masing-masing telah disandang oleh pasukan negeri Kelantan dan Negeri Sembilan.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bantuan guru-guru Sains SMK Labuan, ibu bapa murid dan PIBG sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin merakamkan ucapan tahniah kepada Encik Ismail Abdullah atas kepimpinan beliau dalam memberi galakan dan dorongan kepada guru-guru dalam memastikan kejayaan ini. Dedikasi guru pembimbing juga merupakan satu faktor yang tidak kurang pentingnya membantu kejayaan pasukan ini.

Encik Ismail (tengah), Encik Cheah (Kanan) dan Puan Isabella Kim (dua dari kanan) bersama pemenang pertandingan

Berita Oleh : SMK Labuan

image_pdfimage_print