Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SK Pekan Satu

Labuan, 21 Mei- Panitia Agama Islam telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, penyampaian cenderahati kepada peserta taddarrus dan penyampaian bantuan anak-anak yatim sempena Program Ihya Ramadhan tahun ini. Majlis dimulakan dengan bacaan Asma Ul Husna dan diringi oleh bacaan pembuka majlis agar program ini diberkati Allah. Khalifah bagi Majlis Khatam Al-Quran disandang oleh Ustaz Muhamad Zafar bin Abu Bakar bagi mengepalai seramai 20 murid lelaki dan 20 murid perempuan untuk membaca surah-surah Lazim sempena majlis Khatam Al-Quran.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Yunus Haji Yusof wakil dari JPN dan tuan Yassin bin Tawi wakil PIBG SK Pekan Satu yang diiringi oleh Guru Besar SK Pekan Satu, W.P. Labuan  Pn Anita Shyamini A/P S. Azman. Tuan Haji Yunus Haji Yusof menggalakkan agar aktiviti sebegini bukan sahaja di bulan ramadhan bahkan pada bulan-bulan yang lain supaya warga sekolah semakin dekat dengan penciptanya. Seterusnya beliau merasmikan Program Penutupan Ihya ramadhan Sk Pekan Satu pada tahun 2019.

Sebagai lanjutan daripada program ini diteruskan dengan penyampaian kepada 40 murid dan 30 guru yang terlibat dengan majlis taddarrus sepanjang program ihya ramadhan ini. Sesungguhnya sesiapa yang membaca 1 huruf Al-Quran akan digandakan 10 kebaikan oleh Allah maka dengan itu membaca Al-Quran amat digalakkan kepada semua individu bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi pada setiap hari.

Kemuncak program ini ialah penyampaian bantuan anak-anak yatim. Sk Pekan Satu sudah mengenalpasti seramai 32 orang murid iaitu 22 orang murid lelaki dan 10 orang murid perempuan yang kehilangan bapa atau ibu. Kerjasama yang jitu daripada warga sekolah dan ibu bapa bagi memeriahkan lagi kutipan tabung ihya ramadhan bagi disalurkan kepada anak-anak yatim amat di hargai. Daripada tabung tersebut setiap murid telah memperolehi sepasang baju raya berserta kasut, hamper, biskut raya dan air, tuala serta duit raya. Semasa penyampaian kami sebagai warga sekolah amat pilu dan gemberi apabila melihat murid-murid ini tersenyum riang apabila mendapat sumbangan yang tidak dijangka oleh mereka. Konklusinya program sebegini hendaklah diteruskan pada setiap tahun dan berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dan Pibg semakin erat supaya murid-murid mendapat manfaatnya kelak.

image_pdfimage_print