Majlis Penutupan Ihya Ramadhan SKK Rancha-Rancha

Labuan, 24 Mei – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan majlis penutupan Ihya Ramadhan yang bertempat di dewan sekolah. Majlis dirasmikan oleh Puan Zaliha binti Mohd Salleh yang merupakan Pegawai Angkat Sekolah.
Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan adalah Program Ihya’ Ramadhan, Tadarus Quran, Iftar Jama’ie, Solat Hajat dan Majlis Bacaan Yaasin UPSR 2019, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) yang disampaikan oleh murid dan kutipan derma atau galakan bersedekah (Tabung Ihya’ Ramadhan).


Guru Besar, Puan Norinnie binti Kassim berkata pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bagi melahirkan murid dan warga SKRR yang mengimarahkan bulan Ramadan dan sentiasa memanfaatkan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT serta menyedarkan diri tentang adanya balasan baik daripada Allah dalam setiap usaha mendekatkan diri kepada-Nya. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam memberi sumbangan kewangan, masa dan tenaga bagi memastikan program sepanjang Ramadan ini berjalan dengan baik dan lancar.


Manakala, Puan Zaliha dalam ucapannya berkata, program itu sangat memberi manfaat kepada murid dan guru memandangkan Ramadan bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umat manusia untuk mendapat pahala berlipat kali ganda.

Majlis diteruskan dengan khatam Quran yang disertai seramai 36 orang murid tahun 6 kerana berjaya khatam 30 juzuk al-Quran semasa program tadarus yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.


Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim, peserta tadarus al-quran, peserta tadarus dan peserta kuliah tiga minit. Seterusnya, penyampaian hadiah pemenang pertandingan mewarna dan kuiz Ramadan. Majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya daripada guru-guru kepada murid-murid.

image_pdfimage_print