Marvin Terima Anugerah Khas Pengarah Pendidikan WP Labuan

Encik Raisin Saidin memberikan sijil penghargaan kepada adik Marvin dari SMK Labuan bersama ibu bapa beliau (sebelah kiri) dan Encik Sawal, Encik Ag Martin (kanan)

Labuan – Adik Marvin Hing Majin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Mei 2019.

Adik Marvin dipilih di atas kejayaan mendapat Pingat Perak dalam acara Lompat Jauh Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 bagi Kategori Lelaki 18 Tahun dan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, mahupun kokurikulum.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata Anugerah Khas Pengarah ini, buat julung kalinya diberikan kepada murid bagi mengangkat martabat murid dan memberi pengiktirafan di atas pencapaian membanggakan yang telah ditunjukkan.

Anak kepada pasangan Encik Majin Basayu dan Puan Teo Boon Leng ini dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan mempunyai 2 orang adik beradik.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang olahraga khususnya lompat jauh ketika berumur 12 tahun di Sekolah Kebangsaan St Anne dan minat beliau diteruskan lagi di peringkat sekolah menengah, SMK Labuan.

Cikgu Faizal Abu Bakar, Cikgu Hafiz, Cikgu Bedevonsoon merupakan antara individu penting sebagai jurulatih yang telah membantu adik Marvin dalam bidang olahraga dan lompat jauh.

Dalam bidang akademik, beliau telah berjaya meraih 9A dalam PT3 dan mendapat gred A dalam SEGAK serta gred A PAJSK.

Beliau juga aktif dalam bidang sukan lain seperti badminton dan mewakili sekolah Labuan dalam permainan Catur Kebangsaan pada tahun 2017 dan 2018.

Di bidang kokurikulum, adik Marvin dan rakan-rakan telah berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan National Science Challenge 2018 peringkat negeri dan tempat pertama dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen peringkat negeri pada tahun 2016 dan 2017, seterusnya mewakili Labuan dalam peringkat Kebangsaan.

Harapan sebagai seorang atlit, adik Marvin berharap agar suatu hari nanti beliau dapat memenangi kejohanan SUKMA 2020 dan kejohanan di peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama sekolah, amnya Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini akan membuat yang terbaik untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan berharap berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Ditanya mengenai faktor kejayaan dalam acara lompat jauh MSSM 2019, beliau menjawab sokongan moral ibu bapa, rakan-rakan, inisiatif dan usaha para jurulatihnya yang melatih beliau bermula tahun 2015 sehingga hari ini.

Begitu juga dengan pihak sekolah yang mewujudkan tempat latihan bersesuaian dan menyediakan gelanggang lompat jauh yang membantu dalam meningkatkan kemahiran teknikal lompatan beliau.

Adik Marvin bersama Cikgu Faisal menunjukkan Pingat Perak yang dimenangi dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2019

image_pdfimage_print