Program Smart Bantu Atasi Masalah Kehadiran Murid Ke Sekolah

Dg. Sarifah (duduk di tengah), Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin (dua dari kiri), Kamariah (kiri) bersama murid-murid bergambar seusai program Smart.

Labuan– Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Program Smart Siri 1/ 2019 kelmarin bertempat di Dewan Permata sekolah tersebut.

Program tersebut dihadiri seramai 58 orang murid tahun satu hingga enam. Pemilihan peserta program ini adalah berdasarkan kehadiran murid ke sekolah, pencapaian akademik dan juga untuk pembinaan sahsiah terpuji murid.

Program Smart di bawah Unit Disiplin dan Unit Bimbingan dan Kaunseling bertujuan untuk membina dan memantapkan sahsiah terpuji murid serta mengatasi masalah murid berisiko cicir. Di samping untuk mendedahkan murid tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai kemahiran.

Antara pengisian program ini ialah sesi motivasi, ceramah daripada pihak PDRM, kaunseling individu dan kelompok serta latihan dalam kumpulan (LDK).

Murid-murid begitu tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin.

Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod berkata pihak sekolah mengambil berat  terhadap pembinaan jati diri murid yang terpuji. Justeru, kerjasama daripada semua pihak khususnya ibu bapa amat diperlukan untuk membentuk peribadi yang mulia  anak-anak ini seawal mereka di tahun satu.

“Kita berharap melalui Program Smart ini, anak-anak akan mencintai sekolah. Rajin hadir ke sekolah, sentiasa menunjukkan amalan terpuji seperti membantu rakan-rakan, menjaga keceriaan dan kebersihan persekitaran sekolah dan menjadi ‘mata-mata’ kepada guru bagi mengekang salah laku disiplin murid lain”.

Katanya lagi, murid-murid di sekolah rendah berada di peringkat pertumbuhan di mana mereka sepatutnya suka hadir ke sekolah untuk memperolehi pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Guru-guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.” Katanya semasa ditemui dalam majlis berkenaan.

Norsidah (Guru bimbingan dan kaunseling) turut menyampaikan ceramah motivasi dalam majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut ceramah berkaitan  Keciciran di kalangan murid-murid dan Salah laku jenayah remaja telah disampaikan oleh Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin Bin Abdullah daripada Balai Polis Kampung Bebuloh.

Semoga SKSB berjaya melahirkan murid yang bersahsiah tinggi, bersikap positif sentiasa bermotivasi dan mempunyai keazaman untuk cemerlang dalam semua bidang bersesuaian dengan slogan SKSB Mekar Terbilang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Sarjan Mohd Hafizuddin Augustin (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Dg Sarifah dengan diperhatikan oleh Kamariah dalam majlis tersebut.

image_pdfimage_print