Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SKSB Meriah

26 November – Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SK Sungai Bedaun (SKSB) berlangsung penuh meriah dan gilang-gemilang. Majlis yang bermula jam 10.00 pagi hingga 12:00 tengah hari di Dewan Permata, SK Sungai Bedaun itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Haji Isli.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Maimoon Matnoh, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Mursidi Mokhtar dan Guru Besar SK Sungai Bedaun, Dg. Sarifah Haji A. Mahmod serta Yang DiPertua PIBG SK Sungai Bedaun, Musmardi @ Joy Mursidi.

Majlis yang penuh bersejarah itu turut dihadiri guru besar, guru-guru, mantan guru besar dan bekas guru, alumni dan ibu bapa murid SK Sungai Bedaun.

Dg. Sarifah berkata sambutan Jubli Emas julung kali diadakan bagi memperingati sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun yang dibina pada 1 Januari 1966 dan telah dirasmikan oleh Menteri Kebajikan Masyarakat Sabah, Datuk OKK Haji Mohd Yassin Haji Hashim.

Katanya, sambutan Jubli Emas ini juga dapat mempertemukan dan mengeratkan semula para alumni yang terdiri daripada bekas pendidik dan muridmurid SK Sungai Bedaun.

“Sambutan ini amatlah bermakna bagi warga sekolah dalam memperingati sejarah sekolah di samping mengeratkan kembali silaturahim antara bekas guru dan murid. SK Sungai Bedaun diharap terus mekar terbilang dalam menjangkau usia 50 Tahun,” katanya penuh bangga.

Objektif perlaksanaan Sambutan Jubli Emas (1966 – 2016) ini diharap dapat memperingati sejarah penubuhan sekolah dan pencapaiannya, mengeratkan kembali silaturahim antara bekas guru dan murid serta mengisi kutipan dana untuk pembangunan fizikal dan sahsiah murid.

Sempena program itu, pelbagai acara diadakan termasuk Sukan Rakyat Jubli Emas dan Majlis Makan Malam Amal Jubli Emas.

Majlis perasmian sambutan 50 Tahun itu diserikan dengan persembahan koir, tarian sambut tamu, majlis menandatangani plak, upacara memotong kek, perasmian Tugu Alumni, Anugerah Jasamu Dikenang, cenderamata kepada mantan Guru Besar, pencipta lencana, pencipta bendera, pencipta lagu sekolah, pemakaian pertama lencana sekolah, alumni emas, penyampaian Anugerah Cemerlang UPSR 2015. Persembahan Kalam Jamaie dan lawatan ke galeri SK Sg Bedaun.

Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SK Sungai Bedaun yang bertemakan Mekar Terbilang merupakan satu memori yang sangat bermakna terutama untuk warga sekolah, alumni dan bekas guru besar dan juga bekas guru yang pernah menabur bakti di sekolah tersebut.

Pada majlis itu, Rozman menyampaikan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan untuk program Pemuafakatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang akan diadakan pada 26 November ini.

SK Sungai Bedaun ditubuhkan pada 1 Januari 1966 di mana guru besar pertama ialah Haji Ibrahim Abd Rahman bersama 2 orang guru dan 30 orang murid pertama. Anaknya, Hajah Rokiah menerima cenderamata daripada pihak sekolah.

Sehingga ke hari ini seramai 12 orang guru besar yang telah mentadbir SK Sungai Bedaun termasuk Dg. Sarifah Haji A. Mahmod yang melapor diri pada 10 Oktober 2016.

Dg. Sarifah sangat beruntung kerana beliau adalah anak jati Kg. Sungai Bedaun dan juga pernah mendapat pendidikan awal di SK Sungai Bedaun.

Dengan sambutan 50 Tahun ini merupakan saat yang paling bermakna untuk beliau sebagai bekas murid, bekas guru dan sekarang sebagai guru besar di sekolah ini.

“Saya sangat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada warga sekolah sejak 50 tahun lalu. Terima kasih kami ucapkan kepada bekas guru yang pernah mendidik kami selama tempoh tersebut,” katanya.

Sempena sambutan ini juga diadakan Sukaneka Rakyat yang dikendalikan dengan kerjasama antara PIBG dan pihak sekolah untuk menarik minat komuniti dan penduduk kampung Sungai Bedaun untuk mengenali SK Sungai Bedaun dengan lebih dekat dan merapatkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.

Selain itu, turut diadakan Majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas bersama-sama dengan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan yang telah dirasmikan oleh Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan.

Penutup bagi Sambutan Jubli Emas ini adalah Majlis Makan Malam Amal yang telah dikendalikan oleh Alumni SK Sungai Bedaun dan dengan kerjasama yang erat bersama pihak sekolah dengan temanya Retro.

Pengacara majlis yang mencuit hati dan pelbagai persembahan daripada Alumni dan guru serta cabutan bertuah yang menggamatkan lagi suasana majlis makan malam amal ini.

Berkenaan dengan tema sambutan Mekar Terbilang ialah hasil cetusan idea Cikgu Muhammad Rosli Yusoff yang membayangkan dari dulu sehingga sekarang nama SK Sungai Bedaun sentiasa terbilang.

Manakala untuk reka bentuk tugu pula diilhamkan oleh Cikgu Mohd Aizam Abdul Rahim.

Untuk majlis makan malam amal dengan tema Mekar Aumni 50 Tahun SKSB telah dipilih hasil ilham Mursidi Mokhtar merupakan Pengerusi Penaja Alumni yang juga Ketua Kampung Sg. Bedaun.

Semoga dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun SK Sungai Bedaun merupakan titik tolak untuk kerjasama antara PIBG, Alumni dan komuniti yang lebih erat agar SK Sungai Bedaun mekar terbilang untuk tahun-tahun mendatang.

Dg Sarifah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan sambutan Jubli Emas 50 Tahun SK Sungai Bedaun dan berharap kerjasama dan komitmen tersebut akan berterusan bagi manfaat anak didik serta sekolah secara keseluruhannya.

Sumber : Utusan Borneo, 27 November 2016

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.