Selangor ‘tebas’ Kejohanan Golf MSSM 2019

Kegembiraan Kontinjen Selangor Juara Keseluruhan Kejohanan Golf MSSM 2019

Labuan, 11 April :   Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 dengan mengumpul 400 mata daripada 12 acara individu dan berpasukan bagi ketiga-tiga kategori umur bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Selangor mengungguli dan muncul juara bagi acara Berpasukan Lelaki (Bawah 12), Berpasukan Perempuan (Bawah 15), Berpasukan Perempuan (Bawah 12), Individu Lelaki (Bawah 18) dan Individu Lelaki (Bawah 12).

Selangor juga memperoleh naib juara bagi kategori Individu (Lelaki B15), selain meraih tempat ketiga bagi acara Individu (Lelaki B12), Individu (Perempuan B15) dan Individu (Perempuan B12).

Naib juara keseluruhan menjadi milik Sarawak yang beroleh 262 mata dengan pencapaian terbaiknya ialah muncul juara Individu Lelaki B15, Berpasukan Lelaki B15, selain meraih tempat ketiga acara Berpasukan Lelaki B12 dan Berpasukan Perempuan B15.

Kontinjen Sarawak : Naib Johan Keseluruhan Golf MSSM 2019

Kedah di tempat ketiga dengan mengutip 228 mata selepas menjuarai Berpasukan Perempuan B18, naib juara Berpasukan Perempuan B15, dan tempat ketiga Berpasukan Lelaki B18.

Acara yang berlangsung di Kelab Golf Antarbangsa Labuan dan Kelab Golf Labuan bermula 8 April hingga 10 April 2019 berjalan lancar dan teratur dengan cuaca yang baik sepanjang kejohanan.

Majlis Perasmian Penutupan telah berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan hari ini yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Amir Bin Haji Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memberi peluang kepada Wilayah Persekutuan Labuan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf MSSM 2019 yang julung kalinya diadakan di Labuan.

Kedah : Tempat Ketiga Keseluruhan Golf MSSM 2019

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata kejohanan Golf ini merupakan medan mencungkil bakat baharu dan ruang untuk memilih wakil-wakil negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

“Besarlah harapan saya agar kejohanan golf ini dapat menampilkan golfers yang gah samada kejohanan tempatan mahupun antarabangsa pada masa hadapan”. Encik Raisin Saidin

Atlet yang telah menjuarai kategori L18 ialah Marcus Lim Pang Chuen dari kontinjen Selangor. Manakala P18 dimenangi oleh Ng Yu Xuan yang mewakili Negeri Sembilan.

Ini diikuti oleh juara kategori L15, Anson Yeo Boon Xiang dari kontinjen Sarawak. Juara kategori P15 pula ialah Ashley Chin Yen Ling yang berasal dari negeri Pulau Pinang.

Kontinjen Selangor sekali lagi menjuarai acara individu kategori L12 iaitu adik Muhd Ajmal Amin M. Fajri.

Usaha Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak berputus asa, akhirnya berjaya dijelmakan dengan kejuaraan oleh adik Wang Xin Yao yang bertanding dalam kategori P12.

Syabas dan Tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjayakan Kejohanan Golf MSSM 2019 ini dengan penuh gemilang.

Satu Murid Satu Sukan, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan !

Buletin kejohanan boleh didapati melalui pautan ini (klik disini)

Juara Individu P18, Ng Yu Xuan (kiri) dari Negeri Sembilan dan Juara Individu L18 (dua dari kanan) dari Selangor bersama tetamu VIP.
Encik Raisin Saidin (tengah) dan Encik Hasbollah (kanan) bersama para Golfers yang bertanding dalam Kejohanan Golf MSSM 2019


image_pdfimage_print