SK Sungai Bedaun Meraikan Majlis Apresiasi Sukan, Hari Profesional dan Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang

Cikgu Dg. Sarifah (tujuh dari kiri) Pn. Wiwik, bersama Guru-guru dan AKP merakamkan gambar kenangan seusai Majlis Penghargaan & Jasamu Dikenang.

Labuan – Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) mengadakan Majlis Apresiasi Sukan, Hari Profesional dan Majlis Penghargaan Jasamu Di Kenang serentak pada 14hb Mac 2019 Khamis.

Majlis Apresiasi diadakan setiap kali selesainya pelaksanaan suatu program atau aktiviti di SKSB.

Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan pelaksanaan Kejohanan Sukan Olahraga serta memberi penghargaan kepada atlet dan ahli rumah sukan yang telah berjaya mendapat pingat dalam acara sukan dan juga perbarisan.

Semua ahli rumah sukan gembira dengan jamuan yang diadakan oleh guru dan menerima pingat serta hadiah kemenangan dalam majlis tersebut.

Majlis di adakan di Dewan Permata dan Kantin SKSB.

Ahli Rumah Cenderawasih merakamkan gambar kenangan bersama guru penasihat dan jurulatih dalam Majlis Apresiasi Sukan Olahraga

Menurut Penolong Kanan Ko Kurikulum Cikgu Mohd Aizam Bin Abdul Rahim, Majlis seumpama ini diadakan sebagai wadah penghubung antara guru-guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan murid-murid untuk berinteraksi dengan lebih progresif secara santai.

Ia bertujuan untuk menzahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada seluruh warga SKSB yang telah bersungguh – sungguh menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Kejohanan Sukan Olahraga tempoh hari.

“Pihak sekolah sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan dalam setiap kerja yang dilakukan. Semoga  majlis ini dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan warga sekolah untuk lebih proaktif dalam melaksanakan program sekolah pada masa akan datang” . Cikgu Mohd Aizam

Murid-murid yang berjaya meraih pingat dalam kejohanan sukan olahraga SKSB 2019 kelihatan ceria dan gembira bersama guru

Pada sebelah petangnya diadakan Hari Profesional di sebuah hotel terkenal di Labuan.

Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah Binti A.Mahmod berkata, Hari profesional pada hari ini di adakan di luar sekolah untuk memberi suntikan semangat dan nafas baru kepada semua anggota kerja di SKSB agar lebih bersemangat dalam bekerja.

Dalam majlis tersebut telah disampaikan watikah pelantikan di bawah Pengurusan Pentadbiran, Kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM) dan Ko-Kurikulum. Turut hadir ialah Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), Cikgu Rina Farrina Binti Dalim, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Kamariah Binti Salim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Cikgu Mohd Aizam Bin Abdul Rahim, Penolong Kanan Ko Kurikulum.

“ Pihak sekolah amat  menghargai seluruh warga pendidik dan AKP. Anda adalah nadi terhadap kecemerlangan sekolah. Sikap tidak berkira dalam melaksanakan tugas tanpa mengira penat, wang ringgit, masa dan  tenaga amat kami sanjungi.  Semua pihak sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan secara professional dengan penuh komitmen, cekap dan berkesan”. Cikgu Dg. Sarifah

Ustazah Anfal menerima watikah pelantikan daripada Cikgu Dg. Sarifah ( kiri) sambil diiringi oleh Puan Wiwik Iswandari ( dua dari kanan) dan barisan penolong kanan.

Dalam masa yang sama turut diadakan Majlis Penghargaan & Jasamu Dikenang bagi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada 6 orang guru yang berpindah.

Cikgu Sunah Binti Tahir, PK HEM telah berpindah ke SK Lubuk Temiang, Cikgu Muhammad Faiz Bin Abd.Fatah ke SK.Kerupang, Cikgu Nur Izzati Binti Ahadin ke SKJK Chi Wen, Cikgu Aqmal Bin Ekhlas ke SKK.St.Anne, Cikgu Ritzwandy Faezy bin Samsi ke SK.Lubok Temiang manakala Sahrum Bin Samlan telah bertukar ke Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Dalam ucapannya, Cikgu Dg. Sarifah mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah berpindah kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik untuk sekolah sehingga SKSB berjaya meraih pelbagai kejayaan pada tahun 2018.

Sesungguhnya khidmat bakti yang dicurahkan tidak mampu di balas. Semoga mereka terus cemerlang di tempat baharu.

Semoga SKSB mekar terbilang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Merakam kenangan : Cikgu Dg. Sarifah (tengah) , Cikgu Mohd Aizam (empat dari kiri), Cikgu Rina Farrina (empat dari kanan) dan Ustazah Kamariah (kanan) bergambar bersama guru-guru yang telah berpindah. Cikgu Sunah (tiga dari kanan), Cikgu Nur Izzati (dua dari kanan), Cikgu Muhammad Faiz (kiri), Cikgu Ritzwandy Faezy (dua dari kiri) dan Cikgu Aqmal (tiga dari kiri)

image_pdfimage_print