Rajawali Rampas Kejuaraan Olahraga SMK Labuan

Rumah Rajawali muncul Johan Keseluruhan Kejohanan Olahraga kali ke 59 SMK Labuan 2019

Labuan, 11 Mac : Rajawali merampas kejuaraan daripada rumah Garuda yang memegang hatrik juara keseluruhan sejak 2016 sehingga 2018 dalam Kejohanan Olahraga kali ke 59 Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan 2019.

Cuaca mendung di pagi hari pertama kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Labuan ternyata membawa tuah kepada rumah Rajawali mengungguli pingatan pingat dengan catatan 21 emas, 12 perak dan 15 gangsa.

Juara bertahan, rumah Garuda hanya mampu ditempat kedua dengan membawa pulang 18 emas, 12 perak dan 14 gangsa.

Kejohanan yang berlangsung 8 hingga 9 Mac ini turut disertai oleh Rumah Kenyalang yang meraih tempat ketiga dengan 15 emas, 21 perak dan 12 gangsa. Manakala rumah Merak mendapat 8 emas, 17 perak dan 19 gangsa.

Ketua Guru Penasihat Rumah Rajawali terdiri daripada Ustazah Lihah binti Amat dan Ustaz Razali Ismail.

Marvin Hing Majin dari rumah Kenyalang dan Mavis Yong Xiao Yee, rumah Merak telah dinobatkan sebagai Olahrawagan Lelaki dan Olahragawati Perempuan 18 tahun.

Tuan Hj Md Yusof (kiri) dan Encik Ismail (kanan) meraikan Olahragawan dan Olahragawati SMK Labuan 2019 : Cyra, Marvin, Mavis dan Norhakimin

Marvin mencatat dua rekod baharu kejohanan iaitu mendapat emas acara Lompat Jauh (6.24 meter) dan emas Lompat Kijang dengan catatan 13.16 meter selain meraih emas acara 4×100 meter serta perak dalam acara 100 meter.

Mavis Yong pula mendapat 3 emas dalam acara 100 meter, 400 meter dan 3000 meter serta mendapat perak dalam acara 4×100 meter.

Olahragawan Lelaki 15 tahun disandang oleh Mohd Norhakimin Noor Ashikan (Rajawali) dengan mendapat 5 pingat emas iaitu Lompat Tinggi, Lompat Kijang (rekod baru 12.87m), 400 meter, 4×400 meter dan 4×100 meter.

Olahragawati Perempuan 15 tahun pula, Cyra Cyril (rumah Kenyalang) dengan catatan 1 emas Lompat Tinggi (rekod baru 1.51 meter), perak 4x100m dan gangsa 4×400 meter

Suasana di Kompleks Sukan Labuan menjadi riuh-rendah oleh jerit pekik penonton yang menyaksikan acara lari berganti-ganti guru dan ibu bapa, yang akhirnya dimenangi oleh gandingan guru rumah Kenyalang.

Johan pertandingan kumpulan sorak juga dimenangi oleh rumah Rajawali dan johan sukan tara dimenangi oleh rumah Merak.

Kumpulan sorak rumah Rajawali muncul johan

Tetamu yang hadir memeriahkan sukan tahunan SMK Labuan ini ialah Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Tuan Hj Md Yusof bin Hj Chuchu selaku perasmi majlis perasmian penutupan, Pegawai Angkat SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah , barisan Penolong Kanan, Puan Zalina Zunkepely, Puan Marziawati Mardan dan Encik Cheah Teong Aik.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih terutama kepada ibu bapa yang hadir memberi sokongan kepada penyertaan anak masing-masing. Semoga sokongan berterusan akan diberikan kepada semua aktiviti sekolah termasuklah aktiviti akademik dan sahsiah.

Pasukan Olahraga SMK Labuan berhasrat untuk mencapai kedudukan 3 terbaik dalam Kejohanan Olahraga MSSWP Labuan yang akan berlangsung pada 18-22 Mac 2019. Encik Ismail Abdullah

Johan lari berganti-ganti guru dan ibu bapa

Sumber Berita : SMK Labuan

image_pdfimage_print