150 Orang Murid sertai Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau kali ke 22

Gambar kenangan warga SMK Lajau dalam kejohanan sukan olahraga kali ke-22 tahun 2019

LABUAN :  Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau yang ke 22 telah diadakan pada 25 hingga 27 Februari 2019 bertempat di SMK Lajau dan Kompleks Sukan Labuan. 

Acara kejohanan sukan pada tahun ini bermula dengan empat acara padang yang diadakan di SMK Lajau iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan merejam lembing.

Kejohanan Sukan Olahraga ini telah dijayakan oleh 150 orang murid yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara padang dan acara balapan seperti lari pecut 100 meter dan 200 meter serta larian jarak jauh 800 meter dan 1500 meter. 

Manakala peserta perbarisan pula terdiri daripada 185 orang murid. Selain itu, pada hari kemuncak kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Labuan telah diadakan juga acara terbuka larian 4 x 50 meter untuk ibu bapa dan ahli-ahli PIBG yang hadir menyaksikan anak-anak mereka bertanding dan acara terbuka khas untuk murid-murid istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta pertandingan merebut gula-gula dan coklat khas untuk anak-anak berumur di bawah enam tahun.

Lintas hormat peserta rumah sukan

Objektif Kejohanan Sukan Olahraga ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta dan pasukan sekolah bagi pertandingan ke peringkat negeri yang dijadualkan pada pertengahan bulan Mac nanti. 

Selain itu, kejohanan ini diadakan untuk memperkembangkan potensi murid dalam sukan olahraga dan sebagai pendedahan kepada murid-murid situasi sebenar pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.

Acara kejohanan yang dipertandingan menerusi lima buah rumah sukan ini iaitu Rumah Perdana, Rumah Satria, Rumah Wira, Rumah Inspira dan Rumah Waja yang mendapat sambutan sambutan yang amat baik dari semua murid SMK Lajau.

Kejohanan Sukan Olahraga di SMK Lajau pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama padu oleh semua guru dan kakitangan sekolah yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan. 

Acara larian khas untuk pelajar-pelajar PPKI juga turut diadakan

Kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini juga mendapat sokongan dari pihak-pihak lain dan individu-individu terlibat dengan beberapa tajaan yang diberikan seperti minuman untuk peserta dan petugas yang ditaja oleh Koperasi SMK Lajau Berhad dan McDonald’s Labuan Airport.

Kejohanan Sukan Olahraga pada tahun ini menampilkan atlet-atlet baharu bagi setiap kategori. 

Antaranya ialah adik Nisdawati binti Amil yang muncul sebagai olahragawati bagi kategori perempuan bawah 15 tahun dan adik Mohd Aiman Nazim bin Bobby  menyandang gelaran olahragawan bagi kategori lelaki bawah 15.  Bagi kategori bawah 18 tahun pula, olahragawan disandang oleh adik Mohd Shafwan bin Zulkifli dan adik Celestyn Teo Yen Wei telah berjaya menyandang gelaran olahragawati bagi tahun 2019.

Rumah sukan Satria 16 pingat Emas, 11 Perak dan 8 Gamgsa ( 35 ) telah menyandang johan keseluruhan Kejohanan Olahraga pada tahun ini diikuti rumah sukan Waja 8 Emas, 10 Perak dan 12 Gangsa ( 30 ) tempat kedua, rumah sukan Perdana 8 Emas, 8 Perak dan 13 Gangsa ( 29 ) tempat ketiga, rumah sukan Wira 5 Emas, 9 Gangsa dan 7 Emas ( 21 ) tempat keempat dan rumah sukan Inspira  5 Emas, 4 Perak dan 1 Gangsa ( 10 ) tempat kelima. 

Kejohanan Sukan Olahraga  tahun ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid SMK Lajau untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan.

Encik Jamatin menyampaikan hadiah kepada Olahragawan Lelaki 15 tahun Mohd Aiman Nazim bin Bobby

Dalam ucapan alu-aluan pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum baharu iaitu Encik Subari bin Dwar.

Pengetua juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada sekolah dalam menjayakan kejohanan sukan olaharaga pada tahun ini.

Pelibatan ibu bapa dalam kejohanan ini amat dihargai.

Pengetua juga menzahirkan harapan agar atlet-atlet yang berjaya pada kejohanan kali ini akan memberikan kilauan emas kepada sekolah dalam kejohanan Sukan Olahraga antara sekolah-sekolah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka diadakan pada bulan Mac 2019.

Beliau juga memberikan harapan kepada atlet-atlet yang berjaya mendapat pingat emas dihadiah sebanyak RM50.00 bagi setiap pingat.

Kejohanan Sukan  Olahraga SMK Lajau Kali Ke 22 tahun 2019 telah dirasmikan oleh Encik Tapa bin Jani, selaku YDP PIBG SMK Lajau. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SMK Lajau

Pentadbir dan PIBG sekolah meraikan para pemenang kejohanan

image_pdfimage_print