Penggal Persekolahan 2019 di Wilayah Persekutuan Labuan Bermula

Encik Raisin Saidin cuba menenangkan murid yang menangis pada hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Pekan Dua

Labuan, 2 Januari – Penggal Persekolahan 2019 di Wilayah Persekutuan Labuan bermula hari ini dengan mencatatkan seramai 16,633 orang murid berdaftar, peningkatan data sebanyak 606 murid berbanding 16,027 murid pada tahun 2018.

Bagi kemasukan murid ke Tahun Satu, seramai 1,635 murid  memulakan sesi persekolahan di 17 buah sekolah rendah di Labuan pada tahun ini. Manakala bilangan murid prasekolah mencatatkan 807 orang murid.

Keseluruhan murid sekolah rendah termasuk prasekolah di Labuan adalah seramai 10,427 orang dan murid sekolah menengah pula seramai 5399 orang.

Pelaksanaan Minggu Transisi Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pekan Dua

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin ketika berucap pada perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan memohon agar murid-murid serta ibu bapa sentiasa mengamalkan kebersihan dan menjaga kesihatan diri setiap masa bagi memastikan murid hadir ke sekolah setiap hari.

Menurutnya lagi, Tahun 2019, peperiksaan bagi murid tahap satu iaitu dari tahun satu hingga tahun tiga telah dimansuhkan.

Pembelajaran tahap satu tahun ini adalah berpusatkan kepada murid melalui pendekatan didik dan hibur, pemikiran kreatif, berbentuk kuiz, bercerita, pelaksanaan projek-projek pembelajaran inovasi dan kreatif secara individu mahupun berkumpulan bagi mengasah bakat dan potensi serta kerjasama di kalangan murid.

Bagi pemakaian kasut pula, Encik Raisin Saidin berkata ianya tidak menjadi isu kerana pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021.

Dalam tempoh transisi tersebut (tahun 2019-2020), murid-murid boleh memilih sama ada menggunakan kasut sekolah berwarna hitam ataupun kasut sekolah berwarna putih.

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan : Dalam tempoh transisi tahun 2019-2020, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut berwarna putih

 

 

image_pdfimage_print