Kembara UPSR 2017, Fikirkan Boleh, Engkau Boleh !

Bermula 4hb September di sekolah SK Sungai Lada dan berakhir di SK Pekan Dua pada 8 September, Kembara UPSR 2017 mampu merangsang motivasi calon UPSR Wilayah Persekutuan Labuan.

Kembara ini merupakan anjuran Majlis Guru Besar (MGB) WP Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Seramai 1234 orang calon akan menduduki peperiksaan UPSR di tujuh belas sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 11 September hingga 14 September dan 18 September 2017.

Dalam pengembaraan UPSR yang berlangsung seminggu di semua sekolah rendah,  Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkesempatan untuk memberi kata-kata perangsang dan motivasi bagi membakar semangat anak-anak murid UPSR 2017 dalam menghadapi peperiksaan kelak.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SK Bukit Kalam

Beliau sentiasa mengingatkan mengenai harapan ibu bapa masing-masing yang mengimpikan keputusan yang terbaik daripada semua calon. Guru-guru telah menjalankan tugas mengajar  dengan baik dan kini segala keputusan peperiksaan terletak dibahu calon sendiri samada ingin cemerlang A dalam semua mata pelajaran atau mendapat lulus semua mata pelajaran.

Setelah enam tahun bersekolah, besarlah harapan saya yang mewakili warga pendidikan agar semua calon UPSR 2017 Wilayah Persekutuan Labuan lulus dan menguasai tahap minimum UPSR. Keputusan cemerlang semua A adalah satu bonus kepada anak-anak sekalian, tetapi apa yang lebih penting anak-anak sekalian lulus dan menguasai semua mata pelajaran. Ciptalah sejarah kecemerlangan yang akan anda kenang sehingga akhir hayat anda.

Kembara Permata Kasih UPSR 2017, SKK SK Rancha-Rancha

Beliau juga mengharapkan pihak sekolah fokus dalam melahirkan kemenjadian murid sebagai salah satu aspirasi untuk memacu negara di masa akan datang.

Pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan ini, Encik Raisin mengingatkan anak-anak UPSR 2017 agar sentiasa berdoa, menjaga kesihatan, sentiasa menunjukkan kasih sayang, taat dan patuh kepada ibu bapa serta menghormati guru-guru mereka.

Setelah kita telah bertungkus lumus dan berusaha, jangan lupa untuk berdoa dan memohon restu daripada kedua ibu bapa serta guru-guru anda. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka membesar dan mendidik anda sekalian. Akhirnya, insyaAllah kejayaan menanti di hadapan anda.

Chaiyok, Chaiyok, Fight for the best ! UPSR 2017 SJK(C) Chung Hwa

Sementara itu, YDP Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Encik Jaafar Haji Matusin mengingatkan calon UPSR agar sentiasa tenang dan teliti dalam menjawab setiap soalan yang diberikan.

Setiap soalan mempunyai markah yang amat bernilai untuk menentukan gred yang anda perolehi bagi setiap mata pelajaran. Sebagai contoh, alangkah ruginya anak-anak sekalian, sekiranya hanya memerlukan 1 markah sahaja untuk mendapat gred A dalam matematik akibat tidak meneliti soalan dengan baik.

Suntikan kata-kata semangat daripada Encik Raisin kepada calon UPSR SK Tanjung Aru

Ucapan terima kasih kepada guru-guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, putus asa dan sentiasa memikirkan kaedah terbaik serta sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kejayaan cemerlang anak-anak murid Labuan.

Pihak jabatan dan sekolah sentiasa mendoakan agar semua calon UPSR 2017 diberikan akal fikiran yang cerdas dan boleh menjawab dengan tepat semasa peperiksaan dijalankan dan mendapat keputusan yang cemerlang kelak.

Kepada Semua Calon UPSR :

Fikirkan Boleh. Engkau Boleh Lakukannya. Selamat Maju Jaya UPSR 2017.

Pasti Boleh! Kembara UPSR 2017 SK Pekan Satu

 

Nukilan pembakar semangat kepada calon UPSR SK Pantai

 

Hadiah berupa alat tulis kepada calon UPSR SKK SK St Anne