Sambutan Israk Mikraj SKK Rancha-Rancha

LABUAN, Khamis – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan sambutan Israk Mikraj pada 04 Mei 2017. Program ini disertai seramai 310 orang murid Pendidikan Islam dan 33 orang guru. Ceramah Israk Mikraj bersempena Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam ini telah diadakan di Dewan SK Rancha-Rancha.

            Ceramah yang menarik perhatian warga sekolah ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Shahrizal bin Mohd Saffian, Penolong Pengurus Pusat Pungutan Zakat (PPZ) W.P Labuan. Beliau hadir bersama lapan orang pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Badr Taman IOFC Kerupang 2. Di samping itu, kaunter PPZ juga dibuka kepada warga sekolah.

Objektif utama Sambutan Israk Mikraj Peringkat Sekolah 2017 ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan lanjut kepada murid-murid berkaitan peristiwa Israk Mikraj dan iktibarnya kepada seluruh umat Islam.

Ustaz Ahmad Shahrizal dalam ceramahnya berkata peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu mukjizat yang besar yang dianugerahkan kepada Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW). Israk itu adalah perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin manakala Mikraj pula ialah keadaan baginda semasa terus dibawa ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab sebagai memberikan kekuatan batin kepada Baginda dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah.

Menurut beliau lagi, pengajaran yang besar daripada Israk dan Mikraj ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah SAW telah ditunjukkan peristiwa ajaib dalam perjalanan itu.

Misalnya, Nabi diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah SAW: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”

Selain itu, kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

            Guru Besar SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan), Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau berkata, kita sendiri sedia maklum bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan antara peristiwa  atau sejarah penting dalam rakaman kehidupan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini bukan sahaja membawa makna penting kepada Nabi SAW semata-mata tetapi juga kepada keseluruhan umat Islam di dunia.

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.