PROGRAM CSR AKRAB JPWPL

Labuan, 13 Jun 2026 –  seramai 34 orang peserta terdiri daripada ahli AKRAB Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Program CSR AKRAB JPWPL yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Labuan.
 
Program dimulakan di kawasan Muzium Chimney Labuan dengan taklimat keselamatan sebelum peserta mengikuti sesi lawatan pembelajaran ke Geotapak sekitar Gedung Ubat dan Pantai Chimney serta Geotapak Layang-Layangan.
 
Program ini telah dibimbing oleh pegawai daripada Jabatan Muzium JPWP Labuan, iaitu Puan Nurlina dan Encik Affandi, yang berkongsi pelbagai ilmu serta penerangan berkaitan sejarah, geotapak dan kepentingan pemeliharaan warisan semula jadi Labuan.
 
Selain sesi pembelajaran, peserta turut melaksanakan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) di kawasan pesisir pantai sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap penjagaan kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Program berakhir dengan dengan lawatan ke Taman Ekologi Kinabenua.
 
Semoga program seperti ini dapat terus memperkukuhkan semangat kerjasama, kesukarelawanan dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli AKRAB JPWPL di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.



BENGKEL PENGENDALIAN DRON

Labuan, 11 hingga 12 Jun 2026 – Bengkel ini telah dianjurkan oleh Unit Media Dan Bahan Pendidikan, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama *DJI Malaysia* di Bilik Benua SSTP dan Padang SK Sungai Lada.
 
Buat pertama kalinya DJI Malaysia dengan kerjasama Unit Media dan Bahan Pendidikan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengadakan Bengkel Dron kepada 24 orang guru dan 23 orang murid dari seluruh sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Murid- murid ini telah didedahkan tentang:
1. Guru dan Murid didedahkan tentang peraturan penerbangan Dron.
2. Guru dan Murid dapat mengenali Komponen Dron.
3. Guru dan Murid dapat mengendalikan dron selepas selesai bengkel berakhir.
 
Diharapkan kerjasama antara DJI Malaysia dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagj menjayakan bengkel seumpama ini akan dapat diteruskan dimasa akan datang.



MAJLIS SEJAMBAK BUDI SETULUS INGATAN

LABUAN, 8 Jun 2026 – Telah berlangsung dengan penuh mesra dan bermakna **Majlis Sejambak Budi Setulus Ingatan** anjuran AKRAB Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi meraikan persaraan dua orang ahli AKRAB yang diraikan iaitu **Puan Nor Aisyah Pelagia binti Joseph Apat** dan **Puan Jauyah binti Taim**.
 
Majlis yang berlangsung di Hotel Lazenda, Labuan ini telah diserikan dengan kehadiran Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, barisan pengurusan tertinggi AKRAB, serta ahli-ahli AKRAB JPWP Labuan yang hadir bagi bersama-sama menzahirkan penghargaan atas jasa, komitmen dan sumbangan besar kedua-dua yang diraikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
 
Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan terhadap dedikasi dan khidmat bakti yang telah dicurahkan, malah turut mengukuhkan semangat kekeluargaan, kebersamaan dan penghormatan dalam kalangan warga kerja JPWP Labuan.
 
“Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, namun jasa dan kenangan akan sentiasa terpahat dalam ingatan.”
 
**“Jasamu dikenang, budimu disanjung, kenangan terpahat sepanjang zaman.”**



LAWATAN PENANDA ARAS BRUNEI DARUSSALAM KE LABUAN

Labuan, 3 Jun 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Brunei Darussalam yang diketuai oleh Puan DK. Hjh. Nooramaliatifah binti Pg. Hj. Ahmad, Pengetua Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Negara Brunei Darussalam.

Seramai 14 orang delegasi dari Brunei Darussalam yang terdiri daripada para pensyarah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bersama wakil pendidikan dari Labuan telah menyertai program ini bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian amalan terbaik dalam bidang pendidikan.

Lawatan ini memberi fokus kepada perkongsian pelaksanaan Teknik 12 Langkah dalam Kajian Tindakan, iaitu satu inovasi pendidikan yang dibangunkan di Labuan bagi membantu guru, murid dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) melaksanakan kajian tindakan secara lebih sistematik, mudah difahami dan berkesan. Teknik ini telah dibentangkan oleh penciptanya, Cikgu Suriani Oxley, SISC+ Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Memandangkan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah merupakan institusi pendidikan Tingkatan Enam yang terkenal di Brunei Darussalam, rombongan turut berpeluang mengadakan sesi perkongsian profesional serta lawatan ke Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan bagi melihat amalan pengurusan dan pelaksanaan pendidikan Tingkatan Enam di Labuan.

✨ Antara pembentang yang terlibat ialah:

🌻 Wakil PIBG Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah

  • Cikgu Md. Zain bin Haji Mohiddin selaku Pengerusi PIBG
  • Ustaz Mohammad ‘Ali Syafi’ie bin Awg. Mohammad Nor, Setiausaha PIBG

🌻 Wakil Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah

  • Dr. Faridah Abdul Hamid , Guru Kanan, Bahagian Perkembangan Profesionalisme Keguruan
  • Ustazah Dayangku Sa’adatul Hanan binti Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad, Penolong Guru Kanan, Bahagian Perkembangan Profesionalisme Keguruan

🌻 Wakil PIBG Labuan
Cg Airol Azmi bin Abd Gani, Yang Dipertua PIBG SK Pekan 1, W.P. Labuan

🌻 Wakil Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan
Cg Irwansah bin Sarri
Cg Mohamad Adnan bin Ahmad

✨ Turut hadir:

  • En. Ag Rozlan bin Manan, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan
  • Pn. Norhayati binti Hj. Yahya, Ketua Penolong Pengarah Unit Matematik merangkap Pegawai PIC Tingkatan Enam, Sektor Pembelajaran, JPN W.P. Labuan
  • Pn. Sussana Koh, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan
  • En. Saminan bin Haji Sabtu , Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

Program ini menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik yang dapat memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi serta jaringan profesional pendidikan antara Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.




PROJEK O.M.B.A.K. MURID BERMULA 20 MEI 2026, PERKASA LITERASI AI DI SEKOLAH LABUAN

Labuan, 20 Mei 2026 – Projek O.M.B.A.K. Murid 2026 telah memulakan pelaksanaannya pada 20 Mei 2026, bermula di SM St. Anne dan SMK Taman Perumahan Bedaun sebagai langkah awal Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam memperkukuh literasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan murid.
 
Projek O.M.B.A.K., iaitu Olahan Minda melalui Bimbingan AI dan Kreativiti, merupakan inisiatif di bawah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), JPWPL yang bergerak seiring dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) ke arah melahirkan murid yang celik digital, kreatif, beretika dan bersedia menghadapi landskap pendidikan masa hadapan.
 
Melalui pelaksanaan ini, Pasukan TeknoDidik SSTP akan turun ke sekolah-sekolah bagi membimbing murid menggunakan teknologi AI secara berhemah, kreatif dan bertanggungjawab. Fokus bimbingan bukan sahaja kepada kemahiran menggunakan AI untuk menjana idea dan menghasilkan bahan digital, malah turut menekankan etika penggunaan, keselamatan data, ketulenan hasil kerja serta pemikiran kritis ketika berinteraksi dengan teknologi.
 
Pelaksanaan yang bermula pada 20 Mei 2026 di SM St. Anne dan SMK Taman Perumahan Bedaun ini menjadi titik permulaan sebelum projek tersebut diperluas secara berfasa ke semua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Dengan sokongan Pasukan TeknoDidik SSTP, Projek O.M.B.A.K. Murid diyakini mampu menjadi gelombang baharu transformasi pendidikan digital di Labuan, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasa ekosistem pendidikan yang inklusif, inovatif dan relevan dengan keperluan masa depan.



Mesyuarat Pemuafakatan antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Keningau, 22 Mei 2026 – Mesyuarat Pemuafakatan antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan bertujuan:
1.Memperkukuh kerjasama strategik dalam menangani isu sahsiah dan disiplin murid di sekolah.
 
2.Penekanan kepada pendekatan bersepadu melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan agensi keselamatan dalam usaha mencegah salah laku seperti buli, seksual, ponteng sekolah dan salah laku disiplin.
 
3.Peranan PDRM melalui program pencegahan, ceramah kesedaran dan rondaan berkala turut diperkasakan bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
 
Hasil perbincangan turut mencadangkan pelaksanaan intervensi awal, perkongsian data serta pemantauan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan.
 
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya memperkukuh komitmen bersama ke arah melahirkan murid yang berdisiplin, beradab dan seimbang selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
 
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YDH Datuk Jauteh bin Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah.
Turut hadir bersama-sama YBrs En Yahya bin Ahmad Puteh,Pengarah Pendidikan WP Labuan dan YBrs En Muddin bin Beting wakil rasmi Pengarah Pendidikan JPN Sabah.



BENGKEL KAJIAN TINDAKAN DAN INOVASI INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA (IPS) BERDAFTAR DI BAWAH JPWPL TAHUN 2026

Labuan, 21 Mei 2026 – Program anjuran Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, JPWPL ini telah melibatkan penyertaan seramai 32 orang guru dari Institut Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.
 
🎙️ Bengkel telah disampaikan oleh penceramah jemputan Dr.Hyginus Lester Junior Lee merupakan SISC+ JPWPL, yang berkongsi ilmu serta pendedahan berkaitan konsep, kepentingan dan pelaksanaan kajian tindakan serta inovasi dalam bidang pendidikan.
 
🎯 Antara fokus utama bengkel:
✅ Meningkatkan kefahaman tentang kajian tindakan dan inovasi
✅ Memantapkan kemahiran merancang serta melaksanakan kajian tindakan
✅ Membimbing penyediaan kertas cadangan kajian tindakan
✅ Menggalakkan penghasilan inovasi dalam PdP dan pengurusan
✅ Persediaan pembentangan hasil kajian dan inovasi
 
👏 Bengkel ini merupakan antara usaha berterusan jabatan dalam mentranformasikan guru-guru agar berkeupayaan tinggi dan berorentasikan masa depan. Tahniah dan syabas kepada semua peserta atas komitmen serta penglibatan aktif sepanjang program berlangsung. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di institusi masing-masing.



LAWATAN KERJA PELAKSANAAN SEKOLAH ANGKAT MADANI SK BEBULOH WP LABUAN

Labuan, 20 Mei 2026 — Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengadakan lawatan kerja bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SK Bebuloh, Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Rombongan lawatan telah diketuai oleh Encik Wahyun Anwar bin Abd Rahman bersama dua orang pegawai jabatan. Kehadiran rombongan telah disantuni oleh Encik Ag. Rozlan bin Manan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SK Bebuloh selain memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kebajikan murid melalui pendekatan kolaboratif bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat.
 
Semoga pelaksanaan program ini dapat memberi impak positif kepada warga sekolah serta membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan sejahtera.



Dialog Prestasi Berfokus Sahsiah peringkat Negeri WP Labuan

Labuan, 20 Mei 2026 – Dialog ini membincangkan usaha memperkukuh pembentukan dan mengenalpasti isu sahsiah murid di sekolah, dengan penekanan bahawa kecemerlangan akademik perlu seiring dengan akhlak dan adab yang baik.
 
Dalam dialog ini, beliau menegaskan peranan pentadbir sekolah dan guru sebagai contoh teladan utama dalam menerapkan nilai murni kepada murid melalui PdP dan interaksi harian, termasuk memupuk sikap hormat-menghormati, berdisiplin, bertanggungjawab serta menjaga tutur kata dan tingkah laku.
 
Antara adab murid yang diberi penekanan ialah menghormati guru dan rakan, mematuhi peraturan sekolah, mengamalkan kesopanan serta bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
 
Selain itu, sekolah disaran melaksanakan intervensi sahsiah secara berfokus, menggunakan data disiplin untuk tindakan susulan, membuat pemantauan berterusan serta melibatkan ibu bapa dan komuniti bagi memastikan keberkesanan pembentukan sahsiah murid secara menyeluruh.
 
Sasaran : Pengetua, Guru Besar dan GPK HEM.
Turut hadir: Pengurusan Tertinggi JPWPL
Urusetia : Sektor Pembangunan Murid,JPWPL.



BENGKEL ASAS FOTOGRAFI & PELANTIKAN KREW LENSA JPWPL

Labuan, 18 Mei 2026 – Bengkel Asas Fotografi & Pelantikan Krew LENSA JPWPL telah berlangsung bertempat di Bilik Rafflesia, Ujana Kewangan.
 
Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Rizahanddy Mokti dan melibatkan seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada wakil setiap sektor di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta wakil sekolah.
 
Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran asas fotografi dalam kalangan peserta, khususnya bagi menyokong dokumentasi program, pelaporan visual dan penghasilan bahan hebahan rasmi yang lebih berkualiti, tersusun dan berimpak.
 
Sepanjang bengkel, peserta telah didedahkan dengan asas pengendalian kamera, teknik komposisi gambar, pencahayaan, sudut rakaman serta etika fotografi dalam majlis dan program rasmi.
 
Sebagai kesinambungan kepada kursus ini, para peserta turut menjalani sesi amali fotografi pada 19 hingga 21 Mei 2026 di lokasi dan program yang berbeza. Sesi amali ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari secara langsung dalam suasana program sebenar.